Damian menjalankan bisnes rahsia di sebalik bisnes logistik miliknya. Bisnes rahsianya ialah memindah orang-orang yang ditindas ah long, diperas bapa ayam, dibelasah suami dan lain-lain ke tempat yang lebih selamat bagi mereka memulakan hidup baharu.
Masalah besar muncul apabila Damian memindahkan Kamilia, isteri Poji, dari sangkar emas yang menyeksa batin dan zahir perempuan itu ke tempat yang lebih mendamaikan. Selama ini Kamilia selalu menjadi ‘punching bag’ bagi Poji melepaskan marah.
Rupa-rupanya Damian dan Kamilia saling mengenali dulu. Cinta lama berputik semula. Poji yang dilanda pelbagai masalah tercabar dengan kecurangan Kamilia. Ketua Naga Emas itu, kumpulan samseng paling berpengaruh dan digeruni di wilayah utara, mengarah konco-konconya mencari Kamilia, Damian dan pekerja-pekerjanya.
Langsung bermulalah pertempuran-pertempuran berdarah yang amat dahsyat dalam dunia yang brutal itu… Segala pengkhianatan akan terbongkar dan semua kepura-puraan bakal terdedah bersama darah-darah yang tersimbah! ‘Seperti api dalam sekam, membakar senyap dalam diam’