AWAN WAFDAN merupakan anak jati Semporna, Sabah. Awan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sejarah dan Pengajian Bahasa Melayu (Pendidikan) dengan Kepujian dari Universiti Sains Malaysia. Selain daripada menjadi salah seorang pembicara topik Sejarah dalam ML Studios, Awan Wafdan kian giat menulis novel fiksyen yang mengetengahkan dunia mitologi dan sejarah Melayu dengan harapan dapat menyuntik patriotisme dalam kalangan pembaca – agar pembaca sentiasa berbangga dengan khazanah negara sendiri. Adakalanya, Awan Wafdan juga mencipta puisi kontemporari dan cerpen kemanusiaan untuk menzahirkan keindahan Bahasa Kebangsaan.
Kegemarannya, menatap perubahan awan di langit dan menganggap awan itu sebagai cerminan hidup yang sering berubah-ubah seiring usia. Melalui awan, Tuhan sedang berbicara tentang kehidupan.