Jualan Bebas Palestin Patriots Publishing Berakhir Pada 7 Jun 2021

*Catatan ini diambil daripada hantaran CEO Patriots Publishing di Facebooknya pada 8 Jun 2021

Saya boleh rumuskan ia sebuah kempen jualan yang berjaya kerana kami telah mencapai sasaran yang dikehendaki. Kempen jualan ini bermula pada 18 Mei 2021, dengan sasaran untuk mendermakan sebahagian hasil jualan kepada tabung Persatuan Cinta Gaza Malaysia dan tabung Aman Palestin, khusus untuk membantu warga Gaza dan Palestin yang menghadapi perperangan selama 11 hari yang mengerikan.

Berapakah hasil kutipan derma? Saya masih belum dapat nilainya lagi, tetapi saya jangka dalam anggaran 5 angka. Pengumuman rasmi akan dibuat kelak.
Walaubagaimanapun, apa yang ingin saya ceritakan ini bukanlah tentang derma dan kempen ini sahaja. Saya ingin berkongsi mengapakah kempen jualan ini dibuat dan bagaimanakah ia dilakukan sehingga berjaya mencapai sasaran.
Ia bermula pada April 2021 ketika saya dan pasukan mula melakukan kajian kewangan ringkas tehadap kebolehupayaan pasaran buku untuk tiga hingga enam bulan akan datang. Ia perkara rutin yang biasa dilakukan oleh mana-mana syarikat perniagaan untuk melihat (forecast) pendapatan, perbelanjaan, keuntungan dan kerugian yang bakal diperolehi pada masa akan datang.
Maka, segala pembolehubah-pembolehubah yang boleh mempengaruhi pasaran seperti situasi Covid, aliran tunai, kempen pemasaran, produk (buku) baru, trend, dan lain-lain faktor akan diambil kira bagi mendapatkan satu forecast yang mungkin tidak beberapa tepat (saya perlu berfikiran realistik), tetapi boleh dijadikan asas panduan bagi melindungi dan memajukan organisasi.
Apakah hasil kajian? Pada awal Mei 2021, saya dan pasukan mendapati ketidaktentuan pasaran perbukuan akan menjadi risiko yang besar kepada dunia perbukuan. Ia bakal menjerat ramai penggiat perbukuan seperti penerbit, penjual, pencetak, pengedar dan pastinya, kedai buku.
Dalam hasil kajian kewangan ringkas pada awal Mei itu, saya mendapati jika situasi Covid tidak menurun pada pertengahan Mei, negara akan menghadapi satu lagi ‘total lockdown’ (telahpun berlaku kini), yang akan menyebabkan ketidaktentuan pasaran yang besar apatah lagi jika tiada sebarang ‘money injection to increase people’s buying power’ daripada kerajaan. Ia akan menjejaskan pengoperasian kedai-kedai buku (ditutup), lalu dijangka pendapatan bulanan para penggiat akan menurun dengan drastik dari 21% hingga ke 34%. Secara ‘nationwide’ pula, kajian menjangka pendapatan dan pasaran perbukuan dijangka akan mengecut (berkurang) sekitar 3% hingga ke 7%. Angka 3% dan 7% ini mungkin kita nampak sedikit, tetapi ia besar untuk keseluruhan pasaran. Stock market misalnya kalau jatuh 5% pun ramai yang gelisah.
Kita ini kalau meniaga, memang perkara biasa kalau bulan ni kita untung, bulan depan kita rugi. Tapi kalau berterusan rugi selama 3 bulan, ia risiko besar. Seperti itulah jangkaan kajian yang saya lihat, pendapatan bulanan para penggiat dijangka akan terus menurun setiap bulan dari Mei 2021 hingga Julai 2021, dan mungkin berlanjutan ke Ogos 2021.
Contoh; Bulan Mei turun 21%, bulan Jun turun 25%, bulan Julai turun 30%.
Masuk bulan Ogos 2021, jika tiada lagi ‘cash reserve’ misalnya, sebab sudah digunakan untuk PKP1.0, PKP2.0 dan kini PKP3.0 maka terjeratlah sesebuah perniagaan dan lebih teruk, di ambang gulung tikar.
Saya ada berkongsi tentang hal ini dengan beberapa rakan penerbit dan penjual pada pertengahan Mei 2021. Mereka turut risau, apatah lagi saya. Juga ada rakan penerbit yang bertanya apabila kami baru umumkan kempen jualan itu;
“Kau buat kempen ni sebab kau dah tengok pasaran tiga bulan ke depan kan?” tanya beliau.
“Ya, dan ia teruk. Aku terpaksa. Kau pula macam mana?” jawab saya.
“Aku pun rasa macam tu. Tengah fikir cara nak selesaikan.” balas beliau.
Ya, teruk. Jika anda ada membaca laporan akhbar muka hadapan Kosmo Ahad lepas tentang ‘Industri Buku Makin Tenat’, itulah yang sedang dan bakal berlaku. Lambakan stok tidak terjual dan banyak lagi perkara teruk yang sedang dan bakal dihadapi oleh penggiat perbukuan. Apa yang anda baca itu baru luahan dari pihak penerbit. Anda belum dengar lagi luahan dari pihak kedai-kedai buku dan pihak pencetak.
Lalu, apabila saya lihat dan kenalpasti masalah-masalah ini berdasarkan kajian yang telah dibuat, saya dan pasukan saya perlu menyelesaikannya. Cari jalan penyelesaian.
Ya, terpaksa. Saya dan pasukan memohon maaf kerana terpaksa mengadakan kempen jualan ini dengan menawarkan satu harga yang disukai oleh para pembaca, tetapi ia mungkin melukakan hati para penjual buku-buku kami.
Saya terpaksa langgar prinsip saya sebelum ini iaitu “nak menjaga harga, tak nak bagi harga rendah sebab nak jaga nilai”. Ia sebenarnya menyakitkan hati saya kerana terpaksa juga menelan prinsip sendiri. Terpaksa memilih satu sahaja iaitu ‘people’ atau ‘value’ kali ini. Saya kena memilih ‘people’.
Beberapa hari sebelum kempen jualan dijalankan, saya dan pasukan saya telah menghubungi ejen-ejen kami, dan kedai-kedai buku bagi memberitahu dan menerangkan yang kami terpaksa mengadakan kempen jualan ini. Kami beritahu kajian yang kami terima dan memohon maaf kepada mereka. Kami juga menawarkan beberapa strategi yang dapat mereka menerima manfaat ketika kempen dijalankan. Salah satunya ‘drive demand’ strategy. Jika anda perasan sewaktu kempen diadakan, iaitu beberapa hari sebelum kempen, kami cuti menjual beberapa hari. Dan ketika pertengahan kempen, kami juga cuti menjual beberapa hari. Strategi ini bagi memberi ruang kepada ejen-ejen dan kedai-kedai buku yang menjual buku kami dapat menerima manfaat apabila kami cuti menjual.
Satu perkara yang saya amat bersyukur ketika kempen ini ialah apabila kerajaan mengumumkan beberapa ‘money injection’ kepada rakyat. Salah satunya ialah program e-belia. Ini amat membantu kami dan semua para penggiat perbukuan.
Terdapat juga soalan-soalan yang saya dan pasukan terima ketika hendak melakukan kempen ini. Soalan-soalan baik seperti “Kenapa tak selesaikan masalah ini dengan terbitkan judul baharu? Patriots dah lama tak terbit judul baru sejak Mac 2021.”
Saya menerangkan, bahawa bukan kami tidak mahu menerbitkan judul baharu. Ada faktor-faktor yang menyebabkan kami tidak dapat menerbitkan judul baharu.
Pertama, kami telah belajar sebelum ini apabila kami menerbitkan judul paling laris, judul baharu yang terbit selepas judul terlaris itu akan kurang mendapat sambutan kerana ‘trend & hype’ judul terlaris masih panjang. Kami telah belajar, kalau nak terbit judul baharu selepas judul terlaris, wajar ambil ‘time gap’ untuk terbit judul baharu sekurang-kurangnya selepas sebulan.
Kedua, kami mendapati pada bulan Mei, terdapat judul paling laris oleh penerbit lain juga telah diterbitkan. Ini juga berisiko untuk kami terbitkan judul baru kerana risiko persaingan dalam pasaran. Hal ini biasa dibincangkan dalam arena penerbitan filem, anda boleh cari laporan ‘filem-filem bagus yang flop jualannya sebab ditayangkan hampir atau serentak dengan tayangan filem terlaris Avengers: Endgame’.
Bulan April berisiko, bulan Mei juga berisiko. Maka tinggal bulan Jun sahaja yang sesuai. Kami merancang untuk menerbitkan judul baharu pada akhir Jun 2021 ini jika tiada aral melintang (total lockdown berakhir).
Begitulah serba sedikit mengapakah dan bagaimana kempen ini diadakan. Memilih Palestin sebagai tema kempen bukanlah sebab saya dan pasukan saya hendak menunggang isu semata-mata. Saya sendiri terkesan dan sedih dengan nasib yang menimpa penduduk Gaza, setiap hari ketika perang berlaku, saya mengikutinya di Twitter dan entah berapa banyak ‘butang retweet’ saya klik untuk menghebahkan kekejaman puak Zionis. Don’t stop talking about Palestine.
Lalu saya katakan kepada pasukan saya; Jika niat kita baik dan ikhlas, iaitu hendak bersedekah dan menolong mereka yang memerlukan pertolongan, Allah Yang Maha Menolong pasti akan memudahkan urusan kita juga.
Akhir kata, saya ucapkan terima kasih kepada semua pembaca yang telah membeli buku-buku Patriots sepanjang kempen Jualan Bebas Palestin. Pembelian anda bukan sahaja membantu kami, malah membantu mereka di Gaza. Diharap juga perkongsian saya tentang pemasaran dan kajian ini dapat membantu penggiat perbukuan lain dalam menghadapi tiga bulan ke hadapan yang mencabar.

Winter is coming and they bring the storm.

***

Kemaskini daripada CEO Patriots Publishing pada 21 Jun 2021

May be an image of text that says "CHARITY & DONATION PatotsPublising Publishing telahpun menjalankan amanah dengan menyumbangkan sebahagian hasil Jualan Bebas Palestine kepada pihak Persatuan Cinta Gaza dan pihak MERCY Malaysia. RM8,888 kepada Persatuan Cinta Gaza RM8,888 kepada Mercy Malaysia Çinta aza za Patriots Malaysia mercy™ MALAYSIA"

Alhamdulillah.

Patriots Publishing telahpun menjalankan amanah dengan menyumbangkan sebahagian hasil Jualan Bebas Palestine kepada pihak Persatuan Cinta Gaza dan pihak MERCY Malaysia.

RM8,888 kepada Cinta Gaza
RM8,888 kepada Mercy Malaysia