Perkembangan Terbaru

Apa yang terbaru daripada Patriots Publishing?

Pertama, dijangka pada akhir Ogos 2021 atau awal September 2021 nanti, Patriots Publishing akan menerbitkan dua buku baharu iaitu;

  1. Rahsia Empayar Melayu Sriwijaya karangan Abdullah Sidek. Penulis sebelum ini telah menghasilkan dua buah buku solo berjudul Mencabar Teori Chola dan Perang Tamadun Melayu. Penulis juga merupakan pengajar dalam bidang sejarah. Buku ini akan dijual pada harga RM28.00
  2. The Malaccan Odyssey, merupakan versi Bahasa Inggeris bagi judul Tasjil Anis Salatin (versi Bahasa Melayu) dan Malaka (versi Bahasa Korea). Versi Bahasa Melayu yang pernah mendapat perhatian umum kerana sesuai dibaca oleh golongan pelajar ini akan didatangkan dalam bentuk kulit keras bagi versi Bahasa Inggeris. Harga jualan adalah MYR 58.00 / USD 15.00 / EURO 12.00.

Kedua, Patriots Publishing akan menerima seorang lagi Editor baru bagi memperkuatkan pasukan editorial.

Saya ingin ambil kesempatan memperkenal pasukan editorial kami bagi sesi 2021-2022.

i. Pasukan editorial Patriots Publishing diketuai oleh Editor Kanan, Puan Fatin Atikah. Merupakan editor yang berpengalaman luas dalam dunia perbukuan lebih 5 tahun. Pemegang Sarjana (M.A) Bahasa Melayu dari Universiti Putra Malaysia dan pernah berkhidmat dengan penerbit terkenal, Telaga Biru. Beliau memainkan peranan yang amat besar dalam menyelaras gaya bahasa dan tatabahasa buku-buku yang diterbitkan oleh Patriots Publishing.

ii. Pasukan editorial Patriots Publishing dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Bahagian Bukan Cereka (Non Fiction) dan Bahagian Cereka (Fiction).

Bahagian Bukan Cereka didukung oleh Editor, Cik Zahidah Zabri, yang merupakan graduan sarjana muda dalam bidang Komunikasi Bahasa Inggeris dari UNISZA. Mempunyai pengalaman 3 tahun dalam bidang editorial, gadis dari Kota Bharu ini juga mengetuai unit penterjemahan di Patriots Publishing. Beliau dibantu oleh Editor Muda, Cik Halimatus Saadiah yang mempunyai pengalaman menjadi pengajar bahasa serta penterjemah di Persatuan Penterjemah Malaysia. Cik Halimatus kini walaupun bekerja, beliau juga sedang menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana dalam bidang Komunikasi Profesional di UiTM Shah Alam.

iii. Bahagian Cereka pula didukung oleh Editor, juga merangkap Ketua Editor Mahakarya iaitu Cik Farrah Izzlorna. Beliau juga merupakan novelis dan graduan undang-undang dari UiTM Shah Alam. Berpengalaman di dalam dunia novel lebih 5 tahun dan juga mengetuai unit ‘Rights & Legal’ di Patriots Publishing. Beliau dibantu oleh Editor Muda yang baru sahaja menyertai Patriots Publishing iaitu Cik Maryam Jamilah. Cik Maryam merupakan graduan sarjana muda Bahasa Arab dan Sastera dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

iv. Patriots Publishing turut mempunyai seorang Pembantu Penerbitan iaitu En Mohd Danial Abd Aziz yang mempunyai pengalaman lebih 6 tahun dalam dunia perbukuan negara. Beliau pernah berkhidmat di ITBM, DBP dan Penerbitan KataPilar serta merupakan aktivis perfileman.

Secara jujur, kami amat bertuah memiliki pasukan editorial yang terbaik walaupun usia mereka masih muda. Saya percaya anak muda kita sebenarnya mampu dan maju apabila diberikan peluang sebaiknya.