Kebiasaan baharu yang kita semua akan alami pada waktu ini dan masa hadapan ialah barang yang kita pesan melalui atas talian akan sampai lambat ke tangan kita.
Perkara ini logik untuk terjadi kerana kapasiti perkhidmatan penghantaran barang secara pos sebelum pandemik bermula tidak mampu menampung permintaan yang tinggi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula.
Walaupun pihak-pihak perkhidmatan penghantaran barang cuba meningkatkan kapasiti seperti menambah pekerja, logistik dan sistem, ia masih berada dalam fasa pengujian. Bermakna, setiap pihak perkhidmatan penghantaran barang masih belum menemui kapasiti yang sesuai untuk dipadankan dengan permintaan.
Begitu juga dengan penjual dan pembekal barang, setiap penjual dan pembekal yang menerima pesanan juga agak tidak bersedia menghadapi permintaan yang tinggi sebaik PKP bermula.
Syarikat kami misalnya, permintaan paling tinggi yang pernah kami terima sebelum PKP bermula adalah sekitar 1500 pesanan dalam tempoh dua minggu. Ia berlaku pada tahun lepas sekitar bulan Ogos-September. Tetapi ketika PKP bermula pada Mac, permintaan meningkat sekitar 3000 pesanan dalam tempoh dua minggu.
Kekangan yang kami alami, termasuk penjual dan pembekal-pembekal lain adalah sama. Kekurangan kakitangan berkemahiran untuk menguruskan permintaan, kekurangan sumber untuk memastikan pesanan sentiasa menepati piawai, dan masa yang terhad untuk para pekerja berada di pejabat menguruskan pesanan kerana polisi kesihatan yang tertakluk pada PKP.
Semua kekurangan tersebut adalah kekurangan kapasiti.
Saya tidak pasti, sama ada mahu membesarkan kapasiti pada waktu sekarang, walhal pada masa hadapan saya dan rakan-rakan tidak pasti sama ada permintaan akan menurun atau akan stabil.
Bagaimana jikalau saya menambah kapasiti, tetapi pada bulan Julai hingga September nanti permintaan menurun kerana terkesan dengan kemelesetan ekonomi yang dijangka akan berlaku? Itu agak berisiko tinggi.
Apa yang kami boleh lakukan sekarang ialah melatih dan mengarahkan para pekerja sedia ada di jabatan lain untuk ikut serta membantu bagi menampung kekurangan yang ada di jabatan jualan dan pengedaran. Saya sendiri rasa sebak melihat ada kakitangan sudah mula menampakkan tanda ‘burnout‘. Ini tidak baik. Jadi, saya memutuskan untuk tidak membenarkan ‘overtime‘.
Selain itu, bagi memendekkan masa penghantaran yang lewat tiba ke tangan pelanggan seperti yang saya sentuh pada awal perenggan, penggunaan perkhidmatan penghantaran barangan ‘Same-Day-Delivery‘ (SDD) akan digunakan dalam waktu terdekat. Ini telah saya ulas pada post yang lepas.
Caj penghantaran SDD terhadap pelanggan dijangka lebih mahal berbanding caj biasa yang dikenakan. Tetapi saya juga mungkin berpandangan seperti pelanggan-pelanggan yang lain;
“Tak apa bayar mahal delivery cost kalau barang cepat sampai!”
Bagaimana dengan anda?