Wawancara Bersama CEO Patriots Publishing Sempena Tahun Baru 2021.

Walaupun kami sudah mengenali saudara sebagai ketua bagi penerbitan Patriots Publishing, boleh saudara beritahu kepada kami apa yang kami tidak tahu tentang saudara?

Boleh, saya boleh bermain alat muzik seperti gitar, drum & percussion, piano dan trumpet. Tetapi saya lebih mahir dengan gitar dan drum. Saya sukar menguasai penuh trumpet, dan sekarang saya dan isteri saya sedang belajar semula bermain piano. Pening kepala saya untuk mengingati kembali nota muzik tetapi bermain alat muzik adalah hobi saya sejak berumur 13 tahun, maka challange accepted!

Saya pernah mempunyai dua kugiran. Pertama, Gaban Seven. Kugiran yang menghasilkan muzik genre Metal-Core dan Post-Hardcore. Saya bermain gitar utama. Sempat menerbitkan satu EP self-title. Kedua, Skystalker. Kugiran yang saya sertai di universiti untuk pertandingan kugiran. Kami pernah memenangi pertandingan di universiti. Saya bermain bass. Kugiran ini cenderung memainkan muzik Grunge dan Rock.

 

Mengapa muzik?

Selain bola sepak, muzik adalah tempat saya melepaskan tekanan dan mengasah skill kesenian. Setiap kali saya ingin mencari idea baru atau konsep baru untuk buku, saya akan mencari muzik terlebih dahulu. Saya seorang universal listeners, mendengar dan meminati pelbagai genre. Hardcore saya layan, Kpop saya layan, Dangdut, Funk, Balada dan semuanya saya terima dan layan. Ini juga membentuk pemikiran saya terhadap buku bahawa ‘saya boleh baca and accept any kind of book or manuscript’.

 

Baiklah, sekarang kita bercakap tentang buku. Secara umum, apa pandangan saudara tentang perbukuan di negara kita pada tahun 2020 Kovid?

Tahun yang faktab. Ramai penggiat yang terlingkup atau berada dalam krisis. Tetapi ia tahun yang banyak mengajar kita tentang tidak boleh bergantung harap kepada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) semata-mata. Bermakna business model sesebuah penerbitan perlu berani untuk berubah dan fleksibel.

Namun, tahun 2020 adalah tahun yang terbaik sepanjang Patriots Publishing beroperasi sejak 3 tahun lepas.

Terbaik? Boleh saudara kongsikan bagaimana Patriots Publishing menghadapi tahun 2020?

Kami bermula pada tahun 2020 dengan perancangan yang telah sedia ada. Namun apabila lockdown dikhabarkan berlaku, kami mula mengubah dan menyusun semula strategi penerbitan. Ketika saya mula mengasaskan Patriots Publication pada 2017, saya dan pasukan telah merangka business model yang sesuai seandainya tiada PBAKL, sebagai langkah berjaga-jaga. Ini kerana kami melihat jika sesebuah penerbitan hanya bergantung kepada PBAKL sahaja, risiko amat besar.

Lalu apabila lockdown dan pandemik berlaku, tiada PBAKL pada tahun 2020, kami telah bersedia awal.

Kami gunakan keupayaan kami dalam digital marketing bagi meningkatkan jualan dalam talian. Kami berbincang dan memberitahu kepada para penulis tentang cara kami menghadapi 2020.

Syukur Alhamdulillah, kami berjaya mengharungi 2020 tanpa membuang atau memberhentikan pekerja dan tanpa memotong gaji pekerja. Malah kami menambah dua orang pekerja bagi menguruskan bahagian IT dan kewangan kami. Royalti penulis juga berjaya dibayar. Sasaran judul penerbitan kami juga tercapai. Lebih menarik, dua judul kami telah diterbitkan di Korea Selatan.

 

Cabaran 2020 pula bagaimana?

Cabaran menjaga cash-flow. Saya fikir itulah cabaran terbesar kami pada tahun 2020, dan ia juga cabaran yang sama kepada semua orang ketika pandemik berlaku.

Kedua, cabaran memahami apa yang bakal berlaku selepas pandemik atau tahun 2021 ini.

Dan ketiga, cabaran menyesuaikan polisi dan waktu kerja ketika pandemik kerana kami juga melaksanakan sistem Bekerja Dari Rumah.

 

S: Saudara sebut tentang memahami apa yang berlaku pada 2021 ini, boleh saudara kongsikan bagaimana keadaan perbukuan negara pada 2021 nanti?

J: Saya menjangkakan perbukuan negara akan mula pulih tetapi lambat perkembangannya. Dan pada pertengahan 2021 nanti perbukuan negara akan mengalami sedikit kelesuan jika pandemik ini mula ditamatkan atau beransur pulih. Namun ini semua hanya jangkaan.

 

Bagaimana saudara melihat Patriots Publishing pada 2021 nanti?

Kami memasuki tahun 2021 dengan keyakinan yang telah kami capai pada tahun 2020. Bermakna, kami akan terus bergerak ke hadapan dengan lebih tersusun dan objektif. Pada tahun 2021, kami akan menerbit 3 judul buku terjemahan dari bahasa Korea kepada bahasa Melayu. Dan satu judul kami bakal diterbit ke dalam bahasa Korea untuk pasaran Korea Selatan. Disamping itu, kami bercadang untuk menerbitkan sekurang-kurangnya dua judul kami yang sebelum ini dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris.

Seperti yang anda maklum, kami telah memulakan imprint fiksyen iaitu Mahakarya. Kami akan menerbitkan sekurang-kurangnya 7 judul baru dari imprint tersebut. Jumlah judul buku yang bakal kami terbitkan adalah sekitar 30 judul.

Secara teknikal, saya melihat Patriots Publishing akan terus berkembang pada tahun 2021.

Mengapa Patriots Publishing dilihat fokus kepada Korea Selatan?

Kami ingin menumpukan pasaran dan bahan dari Korea Selatan sekurang-kurangnya 5 tahun. Ini kerana kami lebih ‘prefer’ dengan cara fokus ‘satu-per-satu’. Korea Selatan masa kini adalah pengeluar ‘content’ yang terkenal di dunia melalui polisi ‘K-Wave’ mereka. Pada pandangan saya, kita boleh menjadikan Korea Selatan sebagai hub kandungan bagi mempromosi karya tempatan kita sendiri. Untuk itu, kami perlu membina hubungan yang harmoni bersama penerbit-penerbit di Korea Selatan. Tambahan itu, sambutan untuk ‘content’ dari Korea Selatan di Malaysia adalah positif. Drama, filem, lagu dan buku dari Korea Selatan diterima baik oleh rakyat Malaysia sehinggakan ia membentuk ‘fan-base’ tersendiri.

 

Apa pandangan saudara tentang bahan bacaan percuma yang berlambak di Internet?

Saya fikir ia mempunyai kebaikkan dan keburukkan. Seperti yang anda tahu, kami di The Patriots misalnya adalah juga penerbit bagi kandungan bahan bacaan percuma, yang disiarkan di portal dan laman media sosial kami. Kami sajikan bahan bacaan yang mempunyai manfaat ilmu dan pengetahuan sejarah. Ia baik. Namun, sejak akhir-akhir ini setelah pandemik berlaku, lambakan bahan bacaan percuma semakin tidak terkawal. Kalau yang baik, tidak ada masalah. Namun yang tidak baik, sekadar gosip, fitnah dan lain-lain itu yang dibimbangkan. Apatah lagi kandungan di media sosial masa kini juga banyak yang dihasilkan melalui video dan visual. Semua ini terpulang kepada para pembaca untuk menilainya.

 

Tidakkah lambakan bahan bacaan percuma ini akan menyebabkan sambutan terhadap buku semakin berkurang?

Benar. Jadi, setiap penulis dan penerbit, yakni penggiat perbukuan perlu lebih kreatif dan bijak untuk menggunakan media sosial sebagai bahan promosi dan pemasaran. Pada masa yang sama, pemasaran secara tradisional juga tidak dilupakan. Saya masih percaya terdapat ramai orang di luar sana yang masih ‘prefer’ untuk membaca bahan bacaan bercetak berbanding bahan bacaan digital.

 

Terima kasih saudara. Bagi mengakhiri wawancara ini, boleh saudara sampaikan pesanan ringkas kepada penggiat perbukuan di Malaysia?

“Kalau kau rasa tak dihargai. Tutuplah mata, peganglah hati.”

Dunia perbukuan masa kini semakin mencabar. Adakalanya kita di atas, dan tiba masa kita akan berada di bawah. Tetapi, tak selamanya kita akan terus berada di bawah. Kena bangkit kerana dunia perbukuan inipun tidak sempurna.

Jangan putus asa. Bebaskan minda, susah senang kita sama-sama rasa pada tahun 2021 ini.

Dunia perbukuan ini luas, belayarlah, berkaryalah, dan sentiasa ingat bahawa;

“Sesebuah manuskrip itu akan bernilai hanya jika ia dinilaikan”