Masa Depan Industri Buku di Malaysia Pada Tahun 2021

Tahun 2019, saya berkata kepada pasukan saya bahawa; “Kita akan kejar apa yang kita inginkan pada tahun 2020.”

Namun, tahun 2020 mengajar saya dan pasukan; “Untuk menghargai apa yang kita miliki.”, kerana pandemik benar-benar menguji.

Jadi untuk tahun 2021, saya berkata kepada pasukan saya; “Ia bukan lagi tentang apa yang kita ingin kejar atau menghargai apa yang kita miliki. Ia tentang kita perlu bersama-sama membentuk pengurusan dan pemasaran yang terbaik.”

Sejak akhir-akhir ini saya bimbang dengan masa depan industri buku di Malaysia pada tahun 2021. Walaupun apabila saya membaca kertas ramalan dan jangkaan daripada firma-firma kajian terkemuka tentang dunia penerbitan buku antarabangsa, yang meramalkan dunia penerbitan antarabangsa akan mengunjur positif sehingga tahun 2025, saya masih tetap bimbang. Ini kerana saya dan anda semua maklum bahawa petunjuk yang mewakili antarabangsa tidak semestinya akan seiring dengan dunia penerbitan buku negara kita.

Dunia penerbitan buku negara kita masih ketinggalan jauh.

Mungkin ya, ada beberapa penulis tempatan kita yang mendapat peluang bukunya diterbitkan oleh penerbit antarabangsa dan memenangi anugerah. Ia wajar kita banggakan.

Mungkin ya, ada beberapa buku tempatan kita berjaya diterjemah dan diterbitkan di luar negara. Ia juga wajar kita sambut dengan gembira.

Namun, saya masih rasa industri buku negara kita kekurangan dan ketinggalan. Saya merasainya kerana saya berada di sini, di dalam dunia penerbitan buku.

Saya mengimpikan buku tempatan kita disegani dan dipandang tinggi oleh antarabangsa. Apabila sebut buku dari Malaysia, ramai ejen litera dan pengedar antarabangsa berebut mahu mendapatkan buku serta karya negara kita.

Apabila ada pesta buku antarabangsa di negara luar yang delegasi Malaysia atau penerbit dari Malaysia sertai, reruai kita tidak putus dengan pengunjung yang mahu berjumpa dan bermesyuarat bagi mendapatkan hak cipta karya negara kita.

Tapi semua ini hanya sekadar mimpi. Hakikatnya pahit untuk diluahkan.

Kurangnya promosi karya dari negara kita kepada pentas antarabangsa. Itu kelemahan yang paling jelas saya lihat masa kini. Sama ada kelemahan itu datang dari pihak kerajaan atau swasta, ia masih kabur.

Kadang saya terfikir, negara kita ini ada bilangan netizen aktif yang amat ramai di dunia. Sampaikan negara kita ada ‘tentera bawang’ tersendiri dalam dunia media sosial. Beribu pencipta kandungan digital dari luar negara membuat kandungan mengenai Malaysia kerana mahukan ‘engagement’ dari netizen negara kita. Bahkan, kelab bola sepak yang tidak terkenal menjadi terkenal di media sosial hanya kerana ada pemain bola sepak negara kita bermain di sana.

Lalu, kan bagus jika netizen negara kita yang aktif dan ramai ini dapat mempromosikan buku tempatan kita secara ‘mass’ ke peringkat antarabangsa melalui media sosial?

Saya percaya satu perkara mengenai mempromosikan buku;

Dulu, buku dijual oleh editor. Kini, buku dijual oleh marketer.
Netizen negara kita boleh menjadi marketer yang kuat dan berkesan.

Mungkin.
<br>

p/s: Netizen negara kita juga pernah ‘membunuh’ penerbit 150 judul.