Amir Zayyanid

Amir Zayyanid

Belia biasa-biasa yang cintakan bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid, atau nama sebenarnya, Saidi Saiful Bahri, merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi penterjemahan sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Selepas mendapatkan pendidikan di Ribath Madeenatul Ilmi, Amir giat menceburi bidang penterjemahan dan sehingga tahun 2020, sebanyak tujuh buah buku sudah beliau terjemahkan. Di bawah penerbitan Patriots Publishing, Amir turut menghasilkan sebuah karya solo dan sebuah karya-bersama yang masing-masing berjudul Kronikel One Piece: Sejarah Di Sebalik Manga dan Pertempuran-Pertempuran Agung: Seni Pertempuran Terulung.

Setakat ini, beliau mengkhidmati konten-konten ilmu di portal The Patriots.asia, Ancient History Encyclopedia, dan Ancient Origins menerusi blog peribadinya, Teratak Kutubkhanah. Nyala rasa penulisannya lebih terarah kepada sirah Islamiyah, sejarah dunia, kebudayaan bangsa, arkeologi, mitologi, dan seni sastera. Beliau juga bergiat aktif bersama sepasukan aktivis bahasa dalam menterjemahkan permainan-permainan mobil ke bahasa ibunda.

Dengan berbekalkan semangat keilmuan Bayt al-Hikmah di zaman Abbasiyah, cogan kata ‘mendokumentasi ilmu dan melevitasi sastera’ cuba dimaknai, dimateri, dan dikongsi sesama wargamaya dan sekalian anak bangsa dalam rangka memenuhi suruhan pertama yang diturunkan kepada umat manusia, iaitu ‘Bacalah, dengan nama Pencipta’.

Books By Amir Zayyanid