Khairul Ashraf Muhammad

Khairul Ashraf Muhammad

Khairul Ashraf bin Muhamad adalah anak jati Seremban, Negeri Sembilan. Merupakan anak sulung dari dua orang adik beradik, beliau telah mendirikan rumahtangga dan kini dikurniakan dengan dua orang cahaya mata.

Beliau adalah seorang penjawat awam yang kini telah berkhidmat selama 16 tahun dalam bidang akademik, selaku pensyarah, dan kini bertugas dalam bidang pengurusan di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya.

Walaupun menceburkan kerjaya dalam bidang Pendidikan Teknik, Vokasional dan Latihan, minat beliau dalam bidang penulisan telah dipupuk sejak awal di bangku sekolah. Beliau mula mengembangkan potensi hobi membaca kepada menulis berkaitan kesusateraan dan sejarah Melayu untuk majalah sekolah dan artikel akhbar ketika di Sekolah Dato’ Abdul Razak, Seremban sekitar 1996-1997.

Sepanjang 2000-2006, walaupun menerima pendidikan tinggi di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Media Interaktif) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Sarjana Pendidikan Teknik dan Vokasional di Universiti Teknologi Tum Hussein Onn, ia tidak menghalang beliau meneruskan minatnya dalam aktiviti penulisan.

Di universiti, beliau menyumbang beberapa artikel ilmiah berkaitan bidang sains komputer, selain turut menulis tentang pedagogi, andragogi di dalam pendidikan teknik dan vokasional.

Melalui media sosial kemudiannya beliau dipertemukan dengan The Patriots, dan merupakan antara penulis terawal yang menyertai The Patriots sekitar 2015. Bersama The Patriots, beliau mula menyemai minat menulis untuk The Patriots secara hobi sambilan berkaitan Adat Perpatih, sosiopolitik, serta budaya dan sejarah Melayu. Selain itu, beliau amat gemar mengulas berkenaan hikayat dan seni orang Melayu dan perbandingan budaya dan ketamadunan bangsa lain, selain sering berkongsi pengalamannya berkelana di Eropah terutama Ireland sekitar 2012-2013.

Menjadi amat serasi dengan wadah dan perjuangan The Patriots, beliau turut terus berkongsi pandangan dah buah fikiran, nukilan di media sosial secara eksklusif untuk The Patriots sahaja.

Jodoh beliau bersama The Patriots buat masa ini telah membuahkan dua judul buku bersama penerbit ini iaitu Kitab Tamadun Melayu dan Jangan Selewengkan Sejarah Melayu II.

“Menuntut ilmu umpama keris kersani. Ditempa dan dibakar dalam api keazaman, supaya kelak mengeras dan kekal abadi untuk mampu merobek kejahilan. Keris ini perlu terus diasah supaya terus menajam dan tidak berkarat dalam kebodohan dan dilupakan.”

Books By Khairul Ashraf Muhammad