Apa Yang Saya Lihat …

APA YANG SAYA LIHAT MENGENAI THE PATRIOTS MUNGKIN TIDAK SAMA SEPERTI ANDA LIHAT.

Ia bermula dengan buku berjudul Makan Dalam pada akhir 2012, himpunan artikel dan cerpen mengenai kepercayaan/dogma dari setiap penulis yang berbeza dengan isu yang berbeza.

Antara penulis-penulis di dalam buku ini ialah saya sendiri yang menulis tentang isu muzik, Puteh Srikandi menulis cerpen sejarah, Hamka Mekar menulis isu keagamaan , Nizam Archibald menulis isu bola sepak, dan buku ini juga ada artikel mengenai isu kesihatan.

Ini adalah buku berbentuk ‘popular issue’ (pop-issue) yang pertama saya terbitkan melalui penerbitan Terfaktab Media. Tujuan saya terbitkan buku ini bagi mencari pengganti kepada bahan bacaan isu ‘relationship’ yang telah saya terbitkan sebelum ini.

Seingat saya, buku Makan Dalam ini pernah menjadi bahan kajian di Pusat Pengajian Bahasa di Universiti Sains Malaysia dan kertas kerjanya turut dibentangkan di sana.

Ketika itu, saya belum mengenali lebih dalam tentang The Patriots. Sehinggalah saya perlu membuat kajian ringkas mengenai buku ini, tentang; “Apa yang pembaca ingin baca bagi mengisi kelompongan, dan menyemarakkan budaya membaca bahan bacaan yang baik.’

Hasil kajian ringkas itu, saya terbitkan buku Emas Para Dapunta & Maharaja oleh Puteh Srikandi , sebuah buku mengenai sejarah yang ditulis secara penceritaan santai, tanpa terlalu mengikut teknik klasik mahupun akademik, atau kita boleh katakan sebagai ‘popular history’ (pop-history).

Boleh dikatakan, saya bertaruh dalam menerbitkan buku ini sebenarnya. Rasa gusar jika buku ini tidak mendapat sambutan kerana saya sedar bahawa saya sedang melawan arus. Iaitu membawa elemen pop dalam genre Sejarah. Ia mungkin telah banyak dilakukan di luar negara, tetapi di dalam negara ini, ia belum meluas atau belum dikenali.

Syukur, ia berhasil dan mendapat sambutan. Penerimaan pembaca amat baik kerana saya mendapat pelbagai feedback positif berupa; “Orang kebanyakan (common people) perlukan buku seperti ini kerana kesukaran mereka memahami istilah akademik dan buku-buku sejarah yang menggunakan teknik klasik itu menerbitkan rasa bosan di kalangan mereka.”

Kunci kata di sini ialah; Orang kebanyakan. Ya, orang seperti anda, seperti saya, yang tidak mendapat pendidikan tertinggi dalam pengkhususan bidang sejarah. Tetapi, mempunyai minat dalam hal sejarah.

Baiklah, The Patriots ketika awal pemerhatian saya sekitar 2013-2014, ia adalah sebuah portal yang menampilkan bahan bacaan sejarah yang berlandaskan teknik klasik dan akademik. Ia menarik ramai peminat sejarah termasuk ramai golongan akademik untuk menyumbangkan artikel dan bahan bacaan yang terbaik untuk pembaca.

Apa yang saya nampak ketika itu, pembaca The Patriots bukan datang dari ‘orang kebanyakan’. Pembaca The Patriots ramai yang datang dari golongan yang kita namakan ‘intelektual’ atau ‘peminat intelektual’.

Ketika saya secara rasmi menyertai The Patriots pada awal 2017, meninggalkan penerbitan lama saya, dan bekerja membangunkan The Patriots, saya rasa teruja kerana anggapan saya mengenai The Patriots itu benar, bahawa The Patriots mempunyai suatu ‘khazanah’ berupa content yang sangat banyak. Saya benar-benar maksudkannya, ia beribu, mungkin berpuluh ribu content / artikel / bahan bacaan yang ketika itu belum diterbitkan, atau kita namakan sebagai manuskrip.

Sehingga kini, untuk pengetahuan anda, The Patriots telah menerbitkan sejumlah kira-kira 12000* lebih artikel di portal mereka sejak awal penubuhan.

Sinis, saya ingin bertanya kepada mereka yang mempunyai perasaan benci kepada The Patriots, berapa banyak artikel telah anda terbitkan di portal anda?

Dua belas ribu bukanlah jumlah yang kecil. Ia mengorbankan banyak masa, tenaga dan wang. Ia memenatkan dan ia memerlukan sikap konsisten serta passion yang tinggi. Dan saya bertambah kagum apabila saudara Helmi Effendy ketika 5-6 tahun pertama, beliaulah yang banyak menguruskan manuskrip yang beribu ini.

Dua belas ribu ini juga bermakna ia mustahil untuk tidak mempunyai sebarang kesilapan. Saya akui. Semua warga kerja dan penulis di The Patriots akui dan sentiasa berikan yang terbaik untuk memperbetulkan sebarang kesilapan. Kerana dua belas ribu artikel ini, bermakna jika kita ambil kira purata satu artikel panjangnya 1000 patah perkataan, bermakna ada 12,000,000 (12 juta) teks / patah perkataan yang telah diterbitkan dan disemak.

Sesetengah orang nak membaca artikel 300 patah perkataan pun boleh mengeluh. Kebanyakan editor muda pula, nak proof read manuskrip sepanjang 50,000 patah perkataan pun sampai demam.

Anda bayangkan 12 juta patah perkataan sehingga ke hari ini. Anda boleh lakukan?

Dan untuk pengetahuan anda, The Patriots masih mempunyai simpanan ‘khazanah’ sebanyak 9 juta teks yang masih belum diterbitkan.