Apa Yang Saya Lihat….Bahagian 2

APA YANG SAYA LIHAT MENGENAI THE PATRIOTS MUNGKIN TIDAK SAMA SEPERTI ANDA LIHAT.

Sekitar November 2016, ketika itu hujan renyai-renyai di Look Out Point Bukit Ampang, dan saya menunggu Mohamad Jamalee untuk membincangkan tentang halatuju The Patriots. Ia adalah detik permulaan saya secara rasmi.

The Patriots melalui sayap penerbitan awal iaitu TP Press ketika itu sedang menghadapi banyak masalah termasuk masalah kewangan. Puncanya, kita boleh agak dari cerita yang saya sentuh sebelum ini, mengendalikan portal sahaja sudah memakan masa, tenaga dan wang. Adalah sukar untuk Jamalee dan Helmi mengendalikan dua bidang berbeza pada masa yang sama. Bidang penerbitan dalam talian dan bidang penerbitan buku fizikal. Kedua-dua mereka ini telah banyak mengorbankan segalanya agar The Patriots terus bergerak demi para pembaca.

Baiklah, berbalik kepada kata kunci ‘orang kebanyakan’. Inilah perkara pertama yang saya lakukan ketika sertai The Patriots, melakukan reform dalam Art, Design dan Manufacturing. Kerana itulah punca-punca utama mengapa TP Press berada dalam masalah. Perbetulkan ini, dan hasilnya anda boleh lihat betapa enaknya produk buku yang diterbitkan oleh The Patriots dan juga transisi seni yang ditampilkan The Patriots melalui portalnya.

Tiga perkara ini sebenarnya memberi kesan baru kepada The Patriots secara amnya. Iaitu, pada masa yang sama transisi seni dan kualiti bergerak, ia secara automatik akan juga menarik ‘face of content’ untuk bergerak dari tempat asalnya.

Bergerak dari mana ke mana? Sebelum ini content The Patriots menarik ramai pembaca dari golongan intelektual atau peminat intelektual, kini content-nya bergerak menarik minat ke hierarki (aras) yang lebih bawah dan besar capaiannya iaitu ‘orang kebanyakan’. Anda boleh bayangkan ia seperti sebuah piramid.

The Patriots sebenarnya berada dalam keadaan berhati-hati atau dilema (mungkin?) sebagai ayat yang lebih sesuai. Bagi menunjukkan betapa arus perubahan masa dan situasi, memerlukan The Patriots turut sama berubah dari segi ‘tone & technique’ terhadap bahan bacaan yang diterbitkan.

Kalau dulu lebih nampak akademik, kini lebih santai dan ya, pop. Itu menjelaskan mengapa genre ‘popular history’ mula ada dalam The Patriots.

Kalau dulu The Patriots berhadapan dengan mereka yang ada nilai adab dan pendekatan lembut (mudah untuk berkomunikasi), kini The Patriots, suka atau tidak, dengan capaian lebih luas, perlu berhadapan dengan segelintir mereka yang agresif dan tiada nilai adab.

Lebih menarik, kalau dulu jika ada masalah dalam content, mudah dikendalikan dengan komunikasi secara terus atas aras pemikiran yang intelek dan profesional. Kini, kena berhadapan dengan orang yang jenis ‘baling batu sembunyi tangan’ dan ‘orang yang depan memuji, belakang mengeji.’

Perkara ini bukanlah disengajakan lebih-lebih lagi dengan jumlah pengikut yang semakin bertambah, maka adakalanya ‘public relations’ sendiri tidak menang tangan. The Patriots cuba untuk berlaku adil seperti mengadakan ‘House of Rule’ bagi mengurangkan masalah. Saya masih ingat ketika portal The Patriots diserang golongan ‘Chola’ dan ‘Indonesia’, seperti dipukul ribut hendak menanganinya.

Namun dalam hal kredibiliti content, The Patriots masih bersungguh dan berdedikasi untuk turut sama (masih) menampilkan teknik klasik dan akademik terhadap mana-mana artikel dan bahan bacaan yang sesuai dan memerlukan, bagi menjaga kredibiliti.

Kami pada waktu ini sanggup menggajikan editor yang mempunyai kelulusan PhD dalam Bahasa, bagi memperbetulkan kesalahan typo, tatabahasa dan fakta yang terkandung di dalam buku yang diterbitkan. Kami juga mempunyai ramai Associate khusus dalam bidang sejarah bagi membantu melicinkan ‘cross-reference’ dalam content yang diterbitkan. Ia adalah bukti dan dedikasi kami dalam menjaga bahan bacaan.

Perubahan bukanlah perkara asing bagi kita semua. Kerajaan bertukar, perubahan. Tapau makanan melalui apps, perubahan. Saya bagi contoh perubahan bagi penerbitan novel fiksyen oleh Fixi. Dahulu buku-buku Fixi lebih banyak kepada genre Pulp. Kemudian, berubah kepada karya-karya LGBT kerana hadirnya penulis-penulis sebegitu, dan sekarang lebih banyak kepada genre seram bagi menarik minat pembaca novel di kalangan remaja. Itulah perubahan.

Malangnya, perubahan The Patriots ini (bagi pandangan saya) bukanlah perkara yang digemari oleh mereka yang kita gelar ‘pembenci TP’, setelah kita menilai sebab-sebab mengapa mereka bencikan The Patriots.

Sebab itu jika anda perasan, mereka yang tidak suka, kurang selesa, bencikan The Patriots pada waktu sekarang adalah mereka yang sama pernah mengagumi, mengikuti, dan menjadi peminat The Patriots. Bahkan, ada dikalangan mereka juga pernah menulis untuk The Patriots.

Ia mungkin mengecewakan bagi kami, kerana perlu berulang-kali menerangkan. Tetapi, inilah asam garam dalam dunia pembacaan. Bukan semua orang suka, dan bukan semua orang tidak suka.

Apa yang penting, 9 juta teks yang masih belum diterbitkan ini, kami berusaha untuk terbitkannya kepada pelbagai medium seperti portal dan buku, juga medium baru iaitu video dan wacana.

Akhir kata, tidak kira mana-mana hierarki sekalipun, let’s moving forward as one, with us.

p/s: Saya fikir nak buat hari open day untuk pembenci The Patriots ini, mahu mereka datang ke pejabat kami dan lihat sendiri kami bekerja mengendalikan bahan penerbitan.