Industri buku negara kita boleh berjaya dan kaya-raya jika penggiatnya tidak bersikap ‘berkelompok’. Penggiat-penggiatnya perlu berjiwa besar, kerana dengan memupuk keharmonian antara satu sama lain, barulah industri buku negara boleh berjalan dengan pesat.
Sikap berkelompok di dalam industri buku negara bukan lagi rahsia. Tidak kira sama ada dalam arena Indie, Perdana mahupun Popular.
Sikap berkelompok dalam industri perbukuan secara berkumpulan itu kebanyakannya lebih suka membawa perkara negatif antara satu sama lain, seperti kritik-mengkritik yang tidak perlu, tuding menuding kesalahan, bermusuhan, memburuk-burukkan pihak lain dan lebih teruk, menjatuhkan pihak lain kerana mengejar untung serta sikap berdendam dan membalas dendam.
Mengapa industri buku negara seperti ini tak akan ke mana?
Kerana ramai penggiatnya berjiwa kecil. Dari penulis, penjual malah ada juga kepada penerbit, serta penyakit ini juga ada di sektor perbukuan milik kerajaan.
Anda boleh terus berjiwa kecil demi diri anda sendiri. Tetapi untuk manfaat dan maslahat masyarakat, anda tidak boleh lagi begitu. Anda perlu berjiwa besar kerana anda perlu sedar, anda membawa hal yang besar pada bahu anda.
Orang kata ilmu adalah kuasa.
Maka buku sebenarnya adalah senjata, yang mengeluarkan kuasa.
Jika jiwa itu kecil untuk mengendalikan senjata, layakkah?
Sempena KL sebagai Kota Buku Dunia 2020. Berubahlah.
Sekadar coretan.