Nak Menjual Buku Kena Ada Sedikit Gila

Genap 10 tahun dalam dunia buku dan penerbitan. Terus-terang, untuk saya berada di posisi sekarang, mengetuai sebuah penerbitan yang sedang berkembang dan popular di kalangan pembaca Melayu, banyak perkara yang telah saya lalui.

Ah, mulalah nak bernostalgia.

Tapi saya ingin kongsikan sebagai inspirasi kalian, sempena 10 tahun punya pasal.

“Buku ni, nak terbit tak sukar. Tapi nak jual, itu yang mencabar.” Kata mentor-mentor saya.

Jadi, macam-macam cara menjual buku saya pernah lalui seperti;

TEBALKAN MUKA

Ketika di universiti lagi, saya pernah jual buku dari meja makan ke meja makan lain. Tebalkan muka, hafal ayat teknik menjual, sambil saya pegang bakul PVC yang dipenuhi buku-buku Indie dan juga buku yang saya terbitkan, saya pergi ke kedai-kedai tomyam area Ivory yang dekat dengan USM, pergi mamak Khalel, pergi mamak Pelita Sungai Dua, dan lain-lain tempat, saya jual buku secara direct selling. Pernah semalaman dapat RM200, pernah juga tak terjual langsung.

Lepas penat menjual, saya ajak kawan saya Rafiqah, Lutfiah Rahman , takpun Asang dan Allahyarham Megat Azlan mengeteh. Kadang-kadang kawan saya Nadia Jalal pun ada teman sekali. Pukul 1 pagi, baliklah saya ke desasiwa. Pagi esoknya ada kuliah woi.

Teknik asas pertama menjual buku, jangan rasa malu, jangan berat mulut bercakap tentang seronoknya membaca sesebuah buku di khayalak ramai.

NO RULES, RULES

Ketika saya memiliki kereta pertama, Proton Saga. Dalam kepala otak saya ialah macam mana nak bayar bulanan kereta. Jadi saya mesti gunakan sepenuhnya kereta yang saya miliki. Lalu, saya isi penuh kereta saya dengan buku, saya pandu pergi ke universiti-universiti untuk jual buku. Saya masih ingat, tempat pertama saya buat ‘car-boot sale’ adalah di perkarangan Mcd Parit Raja yang berdekatan dengan UTHM. Saya buat sorang diri di sana. Minta Brader Leplep promosi di media sosial, guna akaun Terfaktab , lalu tak disangka ada juga lima enam orang yang membeli.

Saya juga pernah menjual secara ‘car-boot sale’ ini di dalam universiti. Saya pernah kena halau dengan pegawai keselamatan di UM, di UiTM Jengka, dan UiTM Segamat. Tapi saya mengerti, memang salah saya menjual secara ‘langgar’ sahaja, kalau dihalau, kita akur, kita berhenti, minta maaf dan pulang sajalah. Tapi, sebelum sempat kena halau, dapatlah jualan buku dalam seribu dua ringgit. Sedih tapi suka.

Dan sebab saya kerap menjual buku di UiTM Lendu, jodoh saya dengan wanita yang juga belajar di UiTM Lendu.

Teknik asas kedua menjual buku, ‘no rules, rules’. Kena berani, berani hadap risiko, berani mencuba, kena sedikit gila, dan pastikan ada ilmu mengira dan… cinta.

SABAR

Menjual buku di night market, dan lapangan reruai. Ini juga pernah saya lakukan sewaktu tahun-tahun awal terjun dalam dunia buku.

Usahkan panas terik, hujan ribut juga pernah saya alami sampai reruai saya dinaiki air paras lutut. Sampai buku pun rosak kena air. Kenangan menjual di night market dapat RM15 sahaja akan terus saya ingat. Kenangan menjual buku sampai ke Perlis tapi tak balik modal sebab duit minyak tol dan penginapan lagi mahal. Kenangan dengan Reeney Zulkifli , Syed Hafeez dan Brader Leplep menjual buku di perkarangan UiTM Dungun ketika musim tengkujuh juga sentiasa saya ingat. Sentiasa basah!
Teknik asas ketiga menjual buku, banyakkan bersabar dan semakin jauh kita menjual buku, semakin banyak pengalaman yang mematangkan kita bersama buku.

KOMUNIKASI & BAHASA

Menjual buku naik kapal terbang. Yang ini pengalaman paling enjoy. Sebab sambil menjual buku, boleh flex naik kapal terbang. Pengalaman pertama saya ialah menjual buku di Unimas Kota Samarahan. 11 hari saya di sana, berulang alik dari hotel di Kuching bawa kereta Kancil untuk jual buku di Unimas. Sebelum nak jual buku naik kapal terbang, kena rancang betul-betul stock buku. Supaya tak terkurang (rugi potensi) dan terlebih (rugi nak pos semula). Tapi menjual buku di Unimas sangat berbaloi, saya dan kawan-kawan dapat jualan 19 ribu. Balik dengan happy.

Saya juga pernah menjual buku naik kapal terbang sampai ke Kota Kinabalu dan juga Jakarta sempena Asean Literary Festival. Yang menjual buku di Jakarta ini pengalaman yang benar-benar mendewasakan saya tentang pasaran buku di luar negara. Saya ke sana dengan Sofia Nin , melancarkan buku puisi debut beliau.

Sama, perancangan kena rapi, bukan sekadar stok buku, tapi perancangan bina networking. Dari Jakarta, saya belajar banyak perkara tentang menjual hakcipta pula. Rupa-rupanya baru saya tahu waktu itu yang kita tak perlu pun bawa stok buku banyak-banyak untuk menjual buku, tapi kita bawa hakcipta (networking & piece of paper) untuk menjual. Terima kasih Amir Muhammad yang beri peluang dan Iqbal Fixi yang sudi teman.

Teknik asas keempat menjual buku. Komunikasi dan bahasa. Kuasai bahasa-bahasa atau loghat lain, kuasai bahasa Inggeris untuk berkomunikasi. Pergi tempat orang, bercakaplah seperti mereka supaya mudah melancarkan urusan menjual. Pergi Sarawak, cakap Sarawak. Pergi Sabah, cakap Sabah. Pergi Jakarta, cakap Jawa. Pergi German.. Danke!

BERADAPTASI

Semestinya yang terakhir ini saya kongsikan pengalaman menjual buku di pesta perbukuan besar seperti PBAKL dan Pesta Buku Selangor. Menjual kat tempat ada air-cond. Sama seperti menjual di dalam kedai.

Saya masih ingat pesta buku besar pertama saya sertai adalah Pesta Buku 1Malaysia, dengan Mutalib Uthman . Jual buku di pesta besar sememangnya tak sama pengalamannya dengan jual buku secara ‘car-boot’ atau jual tengah panas serta di night market. Jual buku di pesta besar memerlukan kecekapan kita dalam aturan dan sistem. Seperti mengendalikan P.O.S, inventori, tracking & record, shift kerja, dan aktiviti.

Mujurlah masa saya lepas PMR, saya pernah kerja cashier di stesen minyak, jadi saya tak kekok mengendalikan transaksi seharian yang berpuluh ribu ringgit malah pernah beratus ribu ringgit. Jadi perkara-perkara ini menitikberatkan profesionalisme dan standard. Atau senang kata, kau takkan gelap mata bila pegang duit yang banyak.

Teknik asas kelima menjual buku ialah jangan takut untuk berubah kepada perkara moden, canggih dan berteknologi. Selagi kita faham dan adapt dengan sistem baru, banyak manfaat kita akan dapat.

Contohnya sekarang, jual buku secara online. Duduk atas kerusi hadap phone, tulis copywriting, tunggu sale masuk.

Bandingkan empat pengalaman lepas saya kena berpeluh, berpanas, berhujan, jadi selekeh, kena halau, kena tebalkan muka, kena belajar bahasa lain, kena gigit nyamuk, kena banjir, memandu beratus kilometer, naik kapal terbang, kena tahan roadblock, kena saman parking, kena tunggu organizer lambat siap, jatuh tangga angkat buku, kena tidur dalam kereta, dan macam-macam lagi perkara yang sukar untuk menjual buku.

Ha bandingkan dengan nikmat masa kini 😆. Kadang-kadang saya tersenyum sendiri bila fikir balik.
Cuma, saya bertekad dengan diri saya, kalau saya dah lalui 10 tahun dalam dunia buku, maknanya saya boleh untuk lalui lagi selama 10 tahun. Dan banyak lagi sebenarnya yang ingin saya capai terutama nak naikkan penulis dan karya tempatan kita ke peringkat global.

Maju terus maju, Usaha jaya bakti, Sedia maju tekun, Kualiti mesra progresif, Kami memimpin!
Tak, ni bukan ayat-ayat inspirasi. Ni semua cogankata sekolah dan kolej saya.

Akhir kata, belilah buku terbaru Patriots Publishing iaitu The Insect dan Azrahel: Si Penjejak Kubur.

p/s: Last teknik. Sentiasa ingat kepada orang yang pernah tolong kita, supaya kita tak lupa diri.

~Syazrul Aqram~